Pages

Thursday, March 13, 2014

Perjalanan 2014

Assalammualaikum..

Sedikit perkongsian untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Perasaan kecewa, sakit hati, sedih, semuanya bercampur baur sehinggakan saya tidak tahu pada siapa untuk saya mengadu kecuali kepada Yang Esa.

Perjalanan karier saya diuji apabila diarahkan untuk mengambil alih tugas lain. bermulanya karier saya sebagai pembantu tadbir pada bulan 8 2013. Pertama kali melangkah ke alam pekerjaan yang benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal apabila diarah untuk menyelesaikan beratus-ratus tugasan. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa, akhirnya saya berjaya juga menyiapkan tugasan yang diberikan dalam kekalutan sebagai seorang pekerja baru. Tapi selesai sahaja semua tugasan, saya diarahkan untuk buat semula berpandukan format baru yang telah diberikan. Alangkah merundumnya jiwa dan raga saya pada ketika itu apabila melihat beratus tugasan yang telah saya siapkan, yang telah dihantar, dipulangkan semula kepada saya kerana perlu mengikut format baru. Kenapa setelah beratus tugasan yang telah saya selesaikan, baru saya diberi arahan untuk mengikut format baru? Saya terfikir, kenapa tidak dikeluarkan surat perintah yang mengatakan format itu perlu di ubah? Lemahnya struktur organisasi dan pentadbiran. Perlahan-lahan saya gagahkan diri juga untuk melaksanakan tugas yang diberikan. Setelah menyiapkan semula tugasan mengikut format yang diberi, sekali lagi saya diarahkan untuk menukar lagi format tugasan. Pernah mereka berkata kepada saya "Banyaknya fail kin".... Saya hanya mampu tersenyum tetapi apa yang bersarang di dalam hati saya, hanya Allah yang tahu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tapi apakan daya saya untuk melawan suara itu? Setelah semua tugasan dihantar semula mengikur format yang ditetapkan, sekali lagi semua tugasan diserahkan semula kepada saya untuk mengubah lagi format tugasan. Kesemua fail dipulangkan semula kepada saya untuk disiapkan. Dalam sendu, dengan satu perasaan yang terlalu sedih, seolah-olah satu beban jatuh semula ke bahu. Kenapa mesti saya yang harus harungi semua ini. Tapi saya yakin ada hikmah yang saya terima. Dan selepas itu, rutin-rutin harian saya berjalan seperti biasa. Perjalanan dan tugas juga berjalan lancar. Tetapi saya diuji sekali lagi setelah saya diarahkan untuk melakukan tugasan lain.Kenapa setelah saya menyelesaikan kesemua tugasan ini, saya diarahkan untuk menyelesaikan tugasan lain pula? 

Dua bulan selepas berkhidmat, dua bulan selepas saya menyiapkan beratus-ratus tugasan, saya diarahkan lagi untuk memulakan tugasan lain. Saya hanya mampu bersabar, hanya mampu memandang kerana tugasan yang saya terima adalah tugasan yang saya tidak tahu dari mana hendak mula. Saya perlu mengkaji semula dari satu kerja ke satu kerja, dari satu nota ke satu nota. Beratus lagi tugasan yang perlu saya selesaikan. Yang terbengkalai. Tetapi pada masa ini saya masih mampu bertahan dan bersabar. Saya anggap ini adalah satu pelajaran untuk saya dan saya fikirkan satu tanggungjawab yang besar untuk saya. Saya menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh sekian lamanya dalam masa dua bulan juga. Kesemua tugasan saya kemaskini mengikut masa ke semasa. Alhamdulillah berjaya. Walaupun pada mulanya amat berat untuk saya berkayuh. Ibarat terlalu luas lautan yang perlu saya renang sehinggakan kadang-kala saya lemas untuk seketika. Kadang-kala saya bertanya kepada diri saya, sampai bila saya harus mengharungi semua ini. Lega hati apabila melihat semua laporan mengenai tugasan telah tersedia di depan mata. Saya mampu tersenyum dan saya boleh katakan saya bangga dengan apa yang saya lakukan.

tetapi sekali lagi di bulan Februari 2014, saya diuji apabila diarahkan untuk melakukan tugasan lain. Perasaan terlalu sedih mula menular dalam hati. Keluhan kepada suami, rakan-rakan, keluarga, dan hanya mereka penguat semangat saya. Kenapa mesti saya yang harus alami semua ini? Kenapa? Kenapa lepas satu, satu tugasan yang perlu saya lakukan? Kepada mereka yang mengambil alih semula tugasan saya sebelum ini, tidak ada masalah yang timbul kerana saya telah selesaikan semuanya. Semua laporan, semua tugasan yang hilang, semua tugasan yang terbengkalai, semuanya telah dikemaskini, dicari, diusahakan oleh saya. Saya dapat melihat mereka berehat dan tidak ada apa yang perlu difikirkan. Tetapi kenapa mesti saya? Satu lagi tugasan yang terlalu berat untuk saya lakukan. Terpaksa membuat laporan semula, terpaksa menyemak semula, terpaksa..dan terus terpaksa.. 

"Ya Allah, seandainya ini adalah satu ujian yang Engkau berikan kepada ku, maka kuatkanlah semangat ku Ya Allah. Aku bermohon Kau permudahkanlah urusanku. " dan sehingga kini, saya masih terus mencari tugasan yang hilang, tugasan yang terbengkalai, tugasan yang tidak tahu apa statusnya, tugasan yang perlu dikemaskini, dan lain-lain yang berkaitan dengan tugasan saya sekarang. 

No comments:

Post a Comment