Pages

Wednesday, November 27, 2013

Ke Arah Kebaikan

Assalammualaikum..

Entri di pagi selasa. Mungkin sesetengah daripada kita merasakan sudah tiba masanya untuk berubah ke jalan Allah. Jalan yang diredhai Allah. Mungkin sesetengah daripada kita sudah berada di jalan Allah (Hidup berlandaskan Islam yang sebenar). Mungkin juga sesetengah daripada kita, masih juga belum nampak jalan ke syurga. Itu semua adalah pendirian dan pendapat individu itu sendiri. Begitu juga dengan saya. Tidak mahu Islam cuma sekadar di nama. Rukun Islam ada lima perkara. Inilah yang menjadikan kita sebagai seorang Islam. Kalau hilang satu rukun ini, maka munafiklah  kita sebagai seorang Islam. Apa yang dimaksudkan dengan rukun? Rukun adalah perkara yang wajib bagi kita sebagai seorang Islam. Sama juga dengan solat. Ada rukun-rukun yang perlu kita ikut. Sekiranya tertinggal satu rukun, maka tidak sahlah solat yang kita kerjakan. Berbalik kepada Islam, bagaimana sekiranya kita tidak melaksanakan salah satu rukun Islam. Apa status diri kita? Apa agama kita?

Rukun Islam ada 5 perkara :

1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Mendirikan solat 
3. Menunaikan zakat
4. Berpuasa di bulan ramadhan.
5. Menunaikan haji (bagi yang mampu)

Berpandukan rukun Islam di atas, maka renunglah diri kita sedalam-dalamnya. Sama ada kita sudah buat ataupun tidak. Kalau untuk berhujah bab agama, saya memang tidak layak langsung kerana saya sendiri masih terumbang ambing di dalam Islam. InsyaAllah, semoga niat saya untuk terus mendalami Islam dipermudahkan Allah dan diberikan hati yang tenang dan istiqamah. Bersama-samalah kita melakukan perkara yang diseru dan disuruh. Sekiranya kita mampu melihat syurga dan neraka, pasti kita akan berlumba-lumba untuk memasuki syurga walaupun apa cara sekalipun. Tetapi Allah ingin menguji keimanan kita, maka Allah pun berfirman berkaitan rukun-rukun Iman.

Rukun Iman ada 6 perkara : 

1. Beriman kepada Allah (Kalau kita percaya adanya Allah, maka kita akan lakukan perkara yang disuruh. Amal Ma'ruf Nahi Mungkar)

2. Beriman kepada Malaikat ( Kalau kita percaya adanya Malaikat, terutamanya dua malaikat yang sentiasa bersama kita, mencatit amal baik dan buruk kita, maka kita akan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan) 

3. Beriman kepada kitab suci ( Kalau kita percaya dengan Al-Quran, maka kita akan sentiasa belajar, mengkaji kerana sesungguhnya di dalam kitab ini tersembunyi terlalu banyak perkara yang di luar kemampuan akal fikiran manusia )

4. Beriman kepada para Rasul ( Kalau kita percaya adanya Rasul, maka kita akan ikut segala kebaikan, tingkah lakunya. Sesungguhnya syurga adalah tempat semua para Rasul )

5. Beriman kepada hari Akhirat ( Kalau kita percaya dengan adanya hari pembalasan, dengan adanya Syurga dan Neraka, dengan adanya hari kebangkitan, kita tidak akan sekali-kali melakukan kemungkaran di bumi Allah)

6. Beriman kepada Qada' dan Qadar ( Kalau kita percaya kepada segala ketetapan yang ditetapkan Allah, kita akan sentiasa bersyukur kepada Allah dan sentiasa menginsafi diri, bertakwa kepada Allah)


Renungan untuk kita bersama.
Tidak menjadi satu kesalahan kepada umat manusia yang ingin berubah ke jalan Allah. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita. Allah sentiasa menerima taubat hambanya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Semoga kita sentiasa mendapat keberkatan dari Allah SWT. Amin.

No comments:

Post a Comment