Pages

Monday, October 10, 2011

Tabahkah Aku?

Hari ini merupakan hari yang begitu memberi tekanan kepada aku. Aku tidak tahu dari mana aku harus memulakan cerita. Setiap kesedihan yang terpalit di dalam diri aku membuatkan aku begitu tertekan. 17/10/2011 merupakan tarikh keramat bagi pelajar semester akhir di Politeknik Mukah Sarawak. Projek akhir akan dibentangkan. Aku berasa gelisah setiap kali aku memikirkan berkaitan dengan sistem yang aku bangunkan. Aku tidak mampu untuk berfikir sendiri tapi itulah yang harus aku tempuh. Aku tiada tali untuk aku bergantung, Aku tiada dahan untuk aku berpaut. Sehinggakan aku rasa beban yang aku pikul berlipat kali ganda. Ya Allah.Sesungguhnya setiap ujian yang Kau berikan kepada hambaMu mempunyai hikmah. Kau kuatkanlah semangat aku ya Allah. Amin...

Hanya doa yang memberikan aku ketenangan. Kerana aku yakin Allah itu sentiasa mendengar setiap apa jua yang keluar dari mulut aku mahupun yang tersirat di dalam hati aku.

Bertambah lagi beban aku dengan masalah duit yang aku hadapi. Walaupun begitu, aku tetap akan cuba bertahan dan tidak akan menyusahkan sesiapa sahaja. Walaupun kadang-kala secara tidak langsung airmata akan menitis keluar apabila mengenangkan semua ujian Allah, aku tetap bertahan dan bersyukur dengan setiap nikmat yang Allah kurniakan kepada aku. Sungguh aku cemburu apabila melihat persekitaran keliling yang mewah bila dibandingkan dengan aku, makan tidak tentu, cuma air peneman setia. Semua ini meningkatkan kematangan aku dalam mengenali erti hidup yang sebenar. Kepayahan dan kesusahan yang aku alami sekarang akan berakhir dengan kejayaan di masa hadapan. Itulah yang aku harap-harapkan.

Dan impian aku adalah untuk berkongsi kejayaan aku bersama-sama kedua ibu dan bapa aku. Kerana mereka lah sumber kejayaan aku. Dan aku tidak akan mensia-siakan setiap sen, titik peluh, tangisan yang mereka keluarkan untuk membesar dan melihat aku berjaya. 

Ibu, Ayah...
Tiba masanya untuk membalas jasa kalian membesarkan aku, ketahuilah setiap saat aku hanya berfikir untuk memberi kesenangan hidup untuk kalian. Betapa susahnya membesarkan aku dan adik beradik yang lain dari kecil sehingga sekarang dalam keadaan susah, terpaksa meminjam wang untuk persekolahan kami.

Ibu,Ayah..
Berdoalah agar Allah memanjangkan umur ku. Untuk aku membalas setiap titik peluh yang membesarkan aku. Airmata ini akan menjadi saksi dan sumpah bahawa aku akan menjaga kalian hingga ke akhir nafasku.

Ibu, Ayah..
Ketahuilah..aku ingin merasai nikmat dan kasih sayang dari kalian. Aku ingin kalian sentiasa berasa gembira dan bahagia antara satu sama lain. Setiap malam, sebelum aku melelapkan mata, aku berdoa semoga Allah memberi kebahagiaan kepada kalian. Allah itu Maha Mengasihi.

Cuma tinggal sebulan sahaja lagi aku di sarawak ini. Dan aku akan pulang ke kampung halaman. 6 bulan memberi kerinduan yang amat mendalam kepada ahli keluarga aku. Dan seperti biasa, setiap kali aku pulang ke rumah, nekad aku cuma ingin menjadikan keluarga aku sentiasa dipenuhi dengan sifat kasih dan sayang antara satu sama lain.

Emak.. Kaulah yang sentiasa membakar semangat kami, yang sentiasa menangis kerana kami. Yang sanggup berlapar kerana kami. Begitu besar pengorbananmu ibu.
Ayah.. Sungguhpun kau tidak menzahirkan kasih sayang kepada anak-anakmu, tetapi aku tahu kau sebenarnya mengasihi kami dengan setiap kemarahanmu.
Abang, Kakak, Adik... Kamulah yang sentiasa menemani aku, bersama-sama waktu susah dan senang aku.


No comments:

Post a Comment