Pages

Saturday, March 5, 2011

Kesusahan hidup dahulu (Part2)

Masa aku jual jambu kat sekolah, aku tidak kenal erti perasaan malu. Apa yang aku tahu, aku ingin kumpulkan duit untuk persekolahan aku. Biarlah orang ketawakan aku, biarlah orang mengejek aku. Tapi aku gembira bila hasil jualan aku memuaskan. Setiap hari jambu yang aku jual di sekolah habis. Aku gembira sangat. Aku berpindah ke kampung lanchang setelah bapa berhenti bekerja di estate. Berbulan aku rasa kehidupan kami sekeluarga tanpa elektrik. Hanya pelita yang menemani malam-malam kami. Aku dan kakakku akan curi-curi pergi ke surau untuk tumpang seterika baju sekolah. Waktu tu aku di sekolah menengah. Kadang-kadang baju sekolah aku hitam kerana asap pelita. Aku terpaksa tahan malu bila pergi ke sekolah.

Itulah kesusahan hidup yang amat menguji kesabaran kami sekeluarga. Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa ke dapur mengambil baldi untuk menadah hujan. Bumbung rumah yang bocor. Dan selepas hujan berhenti, perkara wajib yang akan kami lakukan adalah menyapu air yang dah bertakung di dalam rumah. Makanan seharian kami adalah sambal. Bapaku pernah bekerja sebagai konduktor bas. Awal pagi dia sudah bekerja dan balik pada lewat malam. Semuanya adalah demi mencari rezeki kami sekeluarga. Siapa kata abah tak pikirkan kami?

Kadang-kala abah pergi memancing. Dapat ikan betok(puyu). Tu favourite ikan aku. Kadang-kala abah yang rajin nak siang ikan tu. Kitaorang just tolong masak jer.  Walaupun hidup susah, walaupun kadang-kala tiada makanan, tapi mak sentiasa berusaha supaya kami tak kebuluran. Adik beradik aku ramai. Adik-adik aku ramai yang masih bersekolah. Emak tak cukup duit. Kadang-kadang terpaksa pinjam dengan jiran. Bila dah ada duit baru mak ganti. Tapi aku bersyukur, walaupun adik beradik ramai dan hidup yang susah, mak dengan abah tak pernah nak pisahkan kami adik beradik. Kami sentiasa bersama. Dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke zaman remaja, aku pernah melalui saat kesusahan.

Bagilah semangat dan kekuatan kepada aku sehingga aku mampu memberi kebahagiaan kepada keluarga aku.
Sampaikan satu hari, nenek belah abah datang dan memujuk kitaorang supaya tinggal dengan dia. Mungkin nenek kesian dengan kitaorang. Ada rumah bantuan pprt untuk kami. Aku tak malu untuk sebut rumah tu rumah bantuan. Kerana rumah itulah yang memberi perlindungan kepada kami dari hujan dan panas. Rumah itulah yang kami tinggal sehingga sekarang. Aku pernah mendapat tawaran ke tingkatan 6. Aku cuma datang selama seminggu. Minggu kedua aku tak datang dengan alasan aku dah tak sekolah. Tapi sebenarnya aku takut nak minta duit yuran pada mak. Cikgu dan minta duit yuran pada masa tu. Aku tak nak mak susah hati bila aku minta duit. Kalau aku meneruskan pengajian aku di tingkatan 6, mungkin sekarang aku sudah menjejakkan kaki ke U. Tapi aku tak pernah merungut. Aku tahu semua yang berlaku ada ketentuan.

Setiap doa aku hanyalah untuk kesejahteraan kedua ibu bapa ku dan adik beradik aku.
Dan sekarang rezeki aku kembali untuk aku melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Ada kawan-kawanku yang lain bakal bergelar guru, ada yang bakal menggulung ijazah. Walaupun pada usia ini aku dalam perjalanan mengejar segulung diploma, tapi aku tak malu. Aku cuba untuk buktikan kepada keluarga, aku mampu menolong mereka satu hari nanti. Aku inginkan pekerjaan yang baik-baik. Aku ingin setiap kali musim perayaan, aku membeli persalinan untuk ibu bapa dan adik-adik aku yang lain menggunakan duit hasil titik peluh aku sendiri. Setiap saat aku berdoa supaya aku diberi kesempatan, diberi nafas sehingga aku mampu membahagiakan mereka.

 Seandainya satu hari nanti nafas aku terhenti
 tanpa aku sempat menunaikan apa yang sepatutnya aku lakukan 
sebagai seorang anak, 
maafkan aku. 

Aku cuba yang terbaik untuk keluarga kita.
Hanya doa restu yang aku inginkan.

No comments:

Post a Comment