Pages

Friday, February 4, 2011

Kudratku sebagai seorang anak

4 Februari 2011
01.38am

Aku terpanggil pada waktu ini untuk berkongsikan sebuah ilham. Apakah tanggungjawab aku sebagai seorang anak? Mampukah aku memikul tanggungjawab aku sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapaku?

_________________________________________________________________________________

Aku anak kedua daripada 4 orang adik beradik. Ayahku mengalami penyakit strok manakala ibuku sudah terlalu uzur untuk menyara keluarga. Kerana kesusahan keluarga, aku tidak dapat menghabiskan zaman persekolahan aku. Aku hanya mempunyai sijil PMR. Abangku seorang penagih dadah manakala aku mempunyai dua orang adik perempuan dan seorang adik lelaki yang masih bersekolah. Tanggungjawab aku terlalu berat untuk menanggung keluarga. 

Kerana aku tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, aku hanya mampu membantu keluargaku dengan segala kudratku yang ada. Dan juga kerana aku tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, aku sering diberhentikan kerja. Walaupun tahap kemiskinan aku membantutkan segala pelajaran dan kehendak aku, tetapi aku bersyukur sebagai seorang anak lelaki, aku dibesarkan dengan penuh didikan dan adap sopan.

Pelbagai kerja yang aku lakukan demi mencari wang ringgit bagi keperluan keluarga dan persekolahan adik-adik. Biarpun aku terpaksa bekerja siang malam. Apabila menatap wajah seorang insan bergelar ibu, aku memahami segala kerunsingan yang bermain di dalam jiwanya. Dan apabila aku menatap wajah adik-adikku, aku gagahkan diri untuk mencari rezeki yang halal supaya mereka menghabiskan pelajaran mereka. Supaya mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

"Abang,biarlah adik berhenti sekolah. Adik hendak bekerja dan tolong abang". Pernah ayat ini keluar dari mulut adik tetapi segera ku sangkal. "Mahukah adik menjadi seorang insan seperti abang? Sering diberhentikan kerja. Biar abang susah sekarang untuk membantu keluarga. Giliran adik akan tiba dan adik akan lebih banyak dapat membantu keluarga. Adik bersabarlah dengan semua ini. InsyaAllah, ada rezeki untuk kita". Itulah pesananku kepada adik aku sebelum aku meninggalkannya pada suatu malam. 

Aku mencari kerja siang dan malam untuk menampung keluarga. Tiada istilah rehat bagiku. Siang aku bekerja sebagai mekanik dan malam aku berkerja di pasar malam. Aku tidak malu untuk bekerja apa pun asalkan rezeki yang aku dapat adalah rezeki yang halal. Halal untuk aku dan keluargaku. Halal untuk menjadi setiap cebisan daging dan setitis darah dalam tubuh kami.

"Maaf,kamu terpaksa diberhentikan". Luluh hati aku apabila aku mendengar ayat ini daripada ketua tempatku bekerja. Inilah nasib orang yang tidak berpendidikan seperti aku. Aku sudah cuba sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Duit gaji kuterima sebagai hari terakhir perkhidmatan aku di sana. Lemah kaki aku melangkah pulang ke rumah. 

Apabila malam, seperti biasa aku bekerja di pasar malam. Setelah lewat malam dan barang semua siap dikemas, abang Malik selaku insan yang memberikan aku pertolongan di saat aku memerlukan kerja datang berjumpa aku.
"Zam,ini duit kamu untuk malam ini. Abang nak balik kampung. Abang tak meniaga lagi lepas ni. Pandai-pandailah kamu nak hidup yer", itulah ayat terakhir yang keluar dari mulutnya. Sambil memeluk aku dan mengucapkan terima kasih kepadaku. Kosong jiwa aku. Aku melangkah pulang ke rumah. 

Jam sudah lewat malam. Aku membuka pintu perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu tidur ibu ku. 

"Zam....",ibu ku menegur dari dapur.

"Ye bu..",jawabku perlahan.

"Zam,ibu ada benda nak cakap dengan zam. Yuran sekolah adik kamu belum lagi berbayar. Duit sewa rumah pun dah hampir dua bulan bertangguh.", ibu melepaskan resah. Sayu hati aku. Bagaimana aku hendak mengatakan kepada ibu,aku telah diberhentikan. Ku tatap mata ibu. Tidak mahu memberikan kehampaan pada riak wajahnya. Lalu aku seluk poket seluarku dan mengeluarkan duit yang aku terima hari ini. Ku serahkan kepada ibu. Ku kucup dahinya. 

Pada masa yang sama, seorang ayah menitiskan air mata mendengar perbualan si ibu dan si anak. Seorang ayah yang tidak terdaya sebagai seorang ketua keluarga. Tidak terdaya kerana sakit yang dialami. "Maafkan ayah nak", tangis seorang insan bergelar ayah.

"Zam masuk bilik dulu ya bu", aku meminta izin kepada ibu untuk merehatkan badan. Aku bangun dan meninggalkan ibu. Beberapa langkah aku berjalan dan aku kembali melihat ibu. Ibu masih di tempat duduknya. Sebak terus melanda seluruh jiwaku dan inilah air mata pertama yang menitis di pipiku. Walaupun aku seorang anak lelaki tetapi aku tewas pada malam ini.

Masihkah ada kudratku ya Allah...................................

________________________________________________________________________________

Ilhamku................................

No comments:

Post a Comment