Pages

Thursday, February 3, 2011

Ilusi atau Bayangan?

3 Febuari 2011
6.38 pm

Hari ini masuk hari ke 6 cuti pertengahan semester. Masih belum ada pelajar yang pulang ke asrama. Hanya aku dan segelintir teman-temanku yang masih tinggal di asrama. Azie, Baby, Ina, Nana, Lisa, Dijah, Ika adalah antara kawan-kawanku yang bersama-sama tinggal di asrama pada cuti semester ini. Jam 5, Baby mengajak aku berjalan-jalan mengelilingi poli. Tetapi memandangkan keadaan aku yang tidak berapa mengizinkan, aku hanya baring di dalam bilik. Baby pergi bersama Azie, juga teman sebilikku. 

"Kami pergi dulu ya", sempat Azie dan Baby berpesan sebelum pergi meninggalkan aku. Aku hanya mengangguk. Memang tidak berdaya aku hendak berjalan mengelilingi poli. Aku seperti biasa baring menghilangkan sakit perut aku. Hari pertama aku datang bulan dan seperti biasa senggugut akan aku alami. Perutku terasa seperti dicucuk-cucuk. Pedihnya sehingga aku hendak menitiskan air mata. Tetapi aku masih mampu. Minyak panas ku sapukan pada perutku bagi meredakan sedikit kesakitan.

Lemah aku untuk terus berbaring. Aku harus bangun melakukan sesuatu bagi menghilangkan rasa sakit perut yang aku alami. Ku pandang sekiling. Aku mengambil keputusan untuk mengemas bilik. Tinggal aku sendirian di dalam bilik membawa aku kepada bermacam-macam pemikiran. Apatah lagi keadaan blok aku yang sunyi. Aku bangun dan menutup kesemua tingkap di bilikku kerana hari yang semakin senja. Kemudian aku pergi ke tengah-tengah blok di mana tempat untuk pelajar-pelajar menjemur pakaian. Aku mengambil seketul batu bagi menyendal pintu di bilik ku. Dengan lafaz Bismillah aku memegang dan mengambil batu tersebut. Hanya sebesar genggaman ku. 

"Prommmmm!!!!!!". Aku terkejut tatkala aku terdengar bunyi pintu bilik seperti tertutup. Aku tidak pasti bilik mana tetapi bunyinya memang terlalu kuat. Aku meninggalkan bahagian tengah blok dan kembali ke bilik. Mungkin ada pintu yang tidak berkunci dan keadaan angin yang sangat kuat menyebabkan pintu bilik terhempas. Tetapi bilik siapa aku tidak pasti. Yang pasti bukanlah dari aras aku. Seolah-olah dari tingkat dua atau tiga.

Aku terus menyendal pintu dengan batu yang telah ku ambil. Aku meneruskan proses mengemas bilik. Mengemas dan terus mengemas. Setelah siap semuanya, aku keluar dan mengambil penyapu untuk menyapu sampah. Tiba sahaja di luar, angin kuat terus menerpa ke arah aku. Penyapu yang tersandar pada tiang di tepi bilik terjatuh dari tempatnya. 

"Mungkin hari hendak hujan",detik hati kecil ku. Aku mengambil penyapu dan terus masuk ke bilik.Aku memulakan sapuan pertama aku di kawasan aku dan baru lah di katil kawan-kawanku yang lain. Sampah yang aku sapu ku kumpulkan di luar. Saat aku menunduk untuk mengumpulkan sampah-sampah, "Sringgggggggggggggggggggggggg",satu bunyi seolah-olah melintas di telinga ku. Aku kaku sebentar dari meneruskan kerja ku. Pada saat itulah penyeduk sampah di tepi aku terjatuh. Saat aku menoleh ke arah penyeduk sampah tersebut, aku melihat seekor kucing sedang merenung ke arah aku dari satu sudut yang berhampiran denganku. Aku tidak menegur. Aku hanya membiarkan dan meneruskan kerja ku. 
Sekali ku toleh, kucing tersebut masih di situ. Masih merenung ke arah aku. Kali kedua dan ketiga aku menoleh kucing tersebut masih juga merenung. Kali keempat aku menoleh kucing tersebut bergerak menuju ke arah aku dalam langkah yang perlahan-lahan. Dan aku kembali menyambung kerja. Aku menoleh sekali lagi tetapi....kucing tersebut telah tiada. Di mana dan ke mana aku tidak pasti. 

Aku terus teringat pada satu pesanan seseorang.
"Benda itu akan datang berjumpa aku". Apa benda itu aku tidak pasti. Aku percaya kepada kewujudan makhluk-makhluk Allah. Tapi semua itu dan kata-kata itu tidak menggugat keyakinan aku pada ciptaan Allah yang sebenar-benarnya. Syaitan itu ada. Iblis itu ada. Aku memungut sampah-sampah dan memasukkan ke dalam plastik. Setelah semua sampah aku kumpulkan, aku menuju ke tong sampah yang telah disediakan di hadapan blok untuk membuang sampah berkenaan. Aku mendongak ke atas. Awan sudah berkumpul. Angin semakin kuat. Menunjukkan ciri-ciri hujan lebat akan mengiringi tidurku pada malam ini.

Aku kembali ke bilik, kembali ke meja belajarku, mengadap laptop dan terus meluahkan segala apa yang berlaku di dalam blog ini. 

No comments:

Post a Comment