Pages

Saturday, December 25, 2010

Aku punya hati

Dulu aku dilahirkan dalam keluarga yang susah. Aku pernah merasa bagaimana hidup dalam rumah yang tidak berlampu. Aku pernah hidup dalam rumah yang bocor bersama adik beradik yang ramai. Aku pernah berlari mencari baldi setiap kali hujan turun bagi menampung hujan kerana bumbung rumah yang bocor. Aku pernah mengalami hidup hanya bertemankan pelita. Dengan pelita itu aku mentelaah pelajaran.Aku pernah hidup tanpa menjamah nasi untuk beberapa hari. Hanya lempeng menemani kami adik beradik. Tapi aku bersyukur. Aku tidak pernah merungut.

Memang aku dilahirkan dalam keluarga yang susah. Dan diri aku sendiri tidak pernah meminta apa-apa dari keluarga aku untuk kesenangan aku. Aku tidak mahu menjadi beban. Pernah aku ditawarkan untuk menyambung pelajaran di tingkatan 6. Dua minggu aku ke sekolah dan akhirnya aku berhenti kerana aku tidak mampu untuk membayar yuran. Aku malu untuk meminta duit yuran pada orang tua aku. Dan pada pagi itu seperti biasa emak datang dan kejutkan aku untuk ke sekolah. Tapi dengan alasan aku cakap aku tidak mahu lagi ke sekolah.Bosan. Sedangkan dalam hati aku menangis. Aku nak ke sekolah. Aku nak berjaya macam orang lain. Tapi aku tidak mahu bebankan keluarga.

Bila aku berhenti belajar, aku terus kerja kilang dengan harapan untuk menolong keluarga. Setiap bulan aku akan bagi duit pada emak dan abah. Aku akan belikan makanan untuk adik-adik aku. Walaupun aku bukan anak yang sulung, tapi ini diri aku. Hati aku. Aku tidak pentingkan diri untuk kesenangan adik beradik aku. Akudah biasa hidup susah. Aku pernah jual jambu waktu aku di sekolah menengah. Malu??? Aku tolak tepi semua malu aku untuk duit belanja aku hari-hari di sekolah. Aku tidak buat kerja yang salah.

Aku tidak mahu membebankan sesiapa. Aku tidak mahu orang bersusah-payah demi aku. Aku punya kudrat untuk aku berdikari. Jika aku selekeh berpakaian, bukan kerana aku tidak ada duit untuk berbaju baru, tetapi kerana aku merasakan pakaian itu masih mampu untuk menutup tubuh aku. Jika aku keluar berjalan, biar orang pandang aku seperti orang kampung asalkan aku tahu, pakaian yang aku guna adalah dari titik peluh aku sendiri, dari duit aku sendiri. Aku gembira jika aku tidak bebankan sesiapa. Itulah diri aku...

No comments:

Post a Comment